Sunday 8 May 2005

Menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia

:: MINGGUAN MALAYSIA 8 Mei 2005 | Oleh MAZLAN NORDIN ::
DUA hari selepas Hari Pekerja, maka giliran para wartawan pula menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Bagi Aidcom (Institut Pembangunan Komunikasi Asia) ia berupa lanjutan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran betapa perlunya kebebasan berbicara demi mewujudkan masyarakat adil di sesebuah negara. Bahawa ia disokong oleh Institut Akhbar Malaysia dan Kelab Wartawan Kebangsaan mencerminkan matlamat yang sama.

Hampir 20 tahun lampau sesuatu yang disebut Perisytiharan Windhoek memilih 3 Mei sebagai tarikh menyambut hak kebebasan berbicara dan menghayati hakikat bahawa media yang bebas dan berpelbagaian adalah penting untuk memupuk prinsip demokrasi.

Pihak media memainkan peranan penting untuk menegakkan keadilan sosial dan ketelusan serta pemerintahan undang-undang. Tanpa media yang saksama maka pemerintahan yang baik terus menjadi impian.

Bagi masyarakat majmuk di Malaysia antara ukuran kebebasan ialah banyaknya akhbar dan majalah pelbagai bahasa, stesen televisyen kerajaan dan swasta, radio serta Internet.

Dewasa ini bilangan akhbar bahasa Cina mengatasi jumlah akhbar bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil. Keadaan yang seumpama tidak berlaku di negara-negara lain, termasuk negara jiran.

Pun tiada halangan bagi akhbar-akhbar dan majalah-majalah asing diedarkan di Malaysia.

Seperti diketahui dalam pada itu ialah tiadanya lagi majalah berita mingguan Asiaweek dan Far Eastern Economic Review milik Amerika terbitan di Hong Kong yang kadangkala di masa dulu mengkritik itu, ini di Malaysia.

Pertanyaan: Apakah majalah berita mingguan kehilangan para pembaca kerana begitu banyak majalah lain, termasuk hiburan dan sistem siaran televisyen yang begitu pantas menghidangkan berita?

Dan yang disiarkan bukan hanya berita breaking news tetapi juga sorotannya atau follow-up hingga mendahului akhbar yang bakal terbit esoknya!

Menarik perhatian dalam konteks sokongan kepada parti-parti politik ialah perkembangan di Britain seperti sebelum hari mengundi pilihan raya Parlimen beberapa hari lalu.

Akhbar-akhbar News Of The World, Sun, Sunday Mirror, The People, Observer menyatakan sokongan kepada Parti Buruh pimpinan Tony Blair.

Sebaliknya akhbar-akhbar Sunday Times dan Sunday Express menyatakan sokongan kepada Parti Konservatif.

Lincah sekali nampaknya Rupert Murdoch yang memiliki akhbar News Of The World, Sunday Times dan Sun. Dua menyokong Parti Buruh manakala satu lagi menyokong Parti Konservatif.

Murdoch yang asalnya warga Australia kemudian menjadi warga Amerika setelah membeli dan memiliki beberapa akhbar dan stesen televisyen di negara itu. Beliau satu-satunya tuan punya akhbar di tiga negara - Australia, Amerika dan Britain.

Betapa dengan tuan punya akhbar-akhbar di Malaysia? Yang jelas ialah tiada warga asing.

Agak menakjubkan ialah nama Malaysia tidak disebut dalam senarai kebebasan akhbar di serata dunia (world press freedom ranking) yang disusun oleh sebuah pertubuhan bernama Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders) yang berpangkalan di Paris.

Negara nombor satu yang akhbar-akhbarnya dianggap paling bebas ialah Denmark. Kedudukan beberapa negara lain seperti berikut:

Amerika 23, Britain 30, Jepun 43, Timor-Leste 58, Amerika di Iraq 108, Filipina 111, Indonesia 117, Singapura 147, China 162, Myanmar 165, Korea Utara 167 yang akhir sekali.

Nah, nama Malaysia tidak dicatatkan dalam senarai itu. Lalu timbul pertanyaan betapa segala negara diukur kebebasan akhbar masing-masing? Bagaimana Filipina yang medianya dianggap paling bebas di benua Asia jatuh nombor 111, jauh di bawah Timor-Leste?

Rupa-rupanya kedudukan pelbagai negara dalam senarai itu adalah berdasarkan pelbagai jawapan yang diterima dari ``punca-punca bebas.'' Bagaimana Timor-Leste di atas pada nombor 58, jauh meninggalkan Indonesia?

Kita pelik bin takjub dan menunggu 3 Mei 2006 pula. Ada kalanya gamat cerita sang wartawan.

No comments: