Sunday 8 May 2005

Teropong Riong | Tanda tanya pelawaan Kuan Yew edar BH, UM di Singapura

:: BERITA MINGGU 8 Mei 2005 | Oleh Munsyi munsyi@bharian.com.my ::
MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, minggu lalu dengan wajah ceria mengesyorkan agar akhbar negaranya dibenar dijual di Malaysia dan akhbar-akhbar dari negara kita dijual pula di republik itu. Ketika ditemuramah akhbar Business Times di republik itu, beliau tidak pula memberitahu bila ini boleh dimulakan. Pengedaran itu samalah juga dengan kebenaran diberikan kepada akhbar Indonesia dan Britain serta New York dibenarkan dijual di sana.

Akhbar perdana kita tentunya Berita Harian, Utusan Malaysia dan New Straits Times.

MUNSYI: Agaknya dalam bentuk kandungannya hari ini, BH, UM dan NST tentulah boleh dibenarkan dijual di Singapura iaitu dengan berita mengenai Singapura hampir tidak ada langsung atau jika ada pun hanya beberapa perenggan. Itupun beritanya begitu hambar dan tanpa ulasan dikategorikan Kuan Yew sebagai 'melulu' dan cuba campur tangan dalam politik domestiknya.

Berbanding kandungan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dulu iaitu selepas waktu perpisahan dan hubungan penuh kesangsian dengan berita diberi ulasan yang dianggap Kuan Yew menyinggung beliau dan kerajaannya, kandungan UM begitu juga BH dan NST hari ini seperti tidak meminati sebarang berita dari republik itu. Atau sememangnya tidak ada berita yang menarik atau berita tempatan menarik untuk diceduk dan dimasukkan ke dalam akhbar di sini.

Akhbar kita pula jika menyiarkan pun berita dari Singapura hanya berupa petikan daripada Associated Press dan Reuters dan sekali-sekala Bernama. Kuan Yew dan Singapura mempunyai peraturan dan syarat ketat mengenai penulisan berita.

Akhbar republik itu hanya boleh melaporkan fakta saja tanpa cuba membuat sebarang ulasan atau andaian terutama mengenai berita membabitkan politik, PAP atau isu dalaman.

Tetapi jika ia berita mengenai isu luar negara atau pun perbalahan di antara Indonesia dengan Malaysia, apa saja boleh dibuat. Seolah-olah bagi ST (dan Kuan Yew mungkin) biarlah dua negara jiran Melayu ini bertelagah kerana yang menang adalah Singapura!

Bagaimana pula jika dengan kebenaran tu, akhbar perdana Malaysia menempatkan koresponden mereka di Singapura sama seperti koresponden ST di Kuala Lumpur yang bukan saja melapor malah mengulas, membuat andaian dan memberi gambaran daripada perspektif PAP mengenai apa saja berlaku di Malaysia.

Mungkin jika kandungan akhbar Malaysia mengandungi laporan dianggap Kuan Yew berat sebelah, kesediaannya membuat pelawaan itu ditarik balik tetapi jika semuanya 'as it is now' BH, UM dan NST sedia diterimanya.

Mengikut laporan Reporters Without Borders 2004, Singapura berada di tangga 144 daripada 166 dalam soal cengkaman terhadap kebebasan akhbar, memang teruk tapi ini tidak dipedulikan Kuan Yew kerana baginya apa yang penting adalah akhbar atau sebaran am turut memainkan peranan dalam aspek pembangunan negara. Akhbar dan majalah antarabangsa yang celupar boleh disekat edarannya atau dilarang dijual di Singapura sedang sejak 1960-an lagi akhbar Singapura sendiri dianggap sebagai 'docile' (kecut).

No comments: