Saturday 7 May 2005

Persaingan jawatan Timbalan Presiden Pas terbuka

:: Utusan Malaysia 7 Mei 2005 | ZULKIFLEE BAKAR ::
Perebutan jawatan Timbalan Presiden Pas yang akan dilakukan pada 1 Jun ini memasuki babak menarik apabila calon popular, Datuk Dr. Haron Din membayangkan beliau tidak akan bertanding jawatan berkenaan biarpun setakat ini sudah mendapat pencalonan tertinggi dari bahagian-bahagian parti itu.

Selain faktor kesihatan yang semakin menggugat pergerakannya, Dr. Haron juga sememangnya dikenali sebagai seorang yang tidak suka berebut jawatan dalam parti.

Justeru beliau mungkin membuat keputusan untuk menarik diri dan sekali gus menghampakan ahli-ahli Pas yang kini semakin ramai memberi isyarat mahu menyingkirkan penyandang jawatan sekarang, Hassan Shukri.

Walaupun keputusan Dr. Haron itu akan sekali lagi mengecewakan penyokong-penyokong Pas setelah beliau pernah berbuat demikian pada muktamar tiga tahun lalu, namun mereka seharusnya bersyukur kerana mempunyai pemimpin seperti beliau.

Ini kerana Dr. Haron bukanlah menarik diri kerana takut tewas dalam pertarungan tetapi beliau berbuat demikian atas sebab-sebab kesihatan dan merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang bakal dipikul.

Kalaupun Dr. Haron meneruskan juga perjuangan bagi menduduki jawatan itu atas desakan ahli-ahli Pas tetapi ia pasti akan tersekat di tengah jalan.

Ia disebabkan Dr. Haron tidak akan bertarung bagi merebut jawatan dan ini telah beliau buktikan dalam pemilihan lalu apabila menarik diri tidak sampai dua jam sebelum pengundian hendak dijalankan setelah segala usaha kompromi untuk mengelakkan perebutan jawatan itu gagal dilakukan.

Keputusan Dr. Haron untuk tidak bertanding dalam pemilihan kali ini, sudah tentulah mengejutkan ahli-ahli Pas yang mencalonkannya dan bagi bahagian yang belum mesyuarat pula mereka perlu memikirkan calon dalam keadaan masa yang semakin suntuk memandangkan semua senarai pencalonan perlu dihantar ke Markas Pas Pusat selewat-lewatnya 15 Mei ini.

Jika berdasarkan pada senarai pencalonan yang diterima setakat ini, perwakilan Pas mempunyai pilihan untuk memilih sama ada Hassan, ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman atau Nasharuddin Mat Isa.

Bagaimanapun tidak mustahil juga jika bahagian-bahagian berkenaan melakukan kejutan dengan memilih calon-calon lain bagi memenuhi kriteria ulama sebaris dengan Dr. Haron, tetapi persoalannya siapa?

``Inilah masalahnya sebab sejak awal-awal lagi kita tidak melakukan persediaan kemungkinan Dr. Haron menarik diri, oleh itu tiada calon pengganti disediakan.

``Justeru mahu tidak mahu, ahli-ahli Pas perlu menumpukan perhatian untuk memutuskan antara tiga calon yang masih tinggal siapakah yang paling layak,'' kata seorang pemimpin Pas Kelantan ketika dihubungi.

Namun begitu pemimpin tersebut tidak menolak kemungkinan akan wujud calon mengejut yang mungkin mampu menggantikan Dr. Haron dan sekali gus merealisasikan impian sebahagian besar ahli Pas yang mahu Hassan Shukri melangkah keluar dari saf kepimpinan utama Pas.

Ada juga pemimpin Pas berpandangan bahawa Hassan masih berpeluang jika tiada calon sesuai dikemukakan dan saingan terdekat beliau ialah Abdul Halim yang dilihat ulama liberal dan sentiasa bersikap terbuka.

Abdul Halim dilihat ulama yang mampu ke kiri dan kanan, ertinya diterima oleh banyak pihak dalam Pas sama ada dari golongan profesional mahupun ulama.

Oleh itu jika sindrom ingin menolak Hassan terus berlaku, Abdul Halim berpeluang cerah apatah lagi jika beliau mampu menguasai golongan muda dalam Pas.

Tetapi dalam masa yang sama, peluang Nasharuddin juga tidak boleh dipinggirkan jika melihat sokongan yang diberikan kepadanya bagi merebut jawatan naib presiden.

Bagaimanapun memetik kata-kata seorang lagi pemimpin Pas Kelantan, dalam parti itu bukan sahaja soal kebolehan diambil kira, usia juga turut menjadi penentu.

``Saya tidak fikir Nasharuddin akan dipilih menduduki jawatan timbalan presiden, ini kerana kalau ahli Pas menolak Hassan dan tiada pencalonan baru, sudah pasti mereka akan memberi undi kepada Abdul Halim,'' kata pemimpin berkenaan.

Walaupun Abdul Halim bukanlah calon paling diminati tetapi dalam keadaan sekarang, beliau mungkin akan dipilih biarpun untuk sementara waktu sehingga calon yang benar-benar sesuai ditemui dalam pemilihan tiga tahun lagi.

Jika itu berlaku, Kelantan diramalkan akan menguasai dua jawatan penting dalam parti berkenaan iaitu timbalan presiden dan naib presiden. Ini disebabkan seorang lagi calon dari negeri itu, Husam Musa memperoleh pencalonan tertinggi setakat ini.

Biarpun jumlah pencalonan tidak boleh menggambarkan undi yang bakal diperoleh tetapi Husam dilihat berpeluang cerah untuk menduduki jawatan berkenaan memandangkan beliau dianggap pemimpin masa depan Pas.

Sebenarnya, jika Abdul Halim dan Husam berjaya, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebagai benteng terakhir, pemimpin Pas Kelantan seharusnya menduduki jawatan lebih tinggi lagi dalam parti itu.

No comments: