Sunday, 8 May 2005

DATUK NIK AZIZ NIK MAT DALAM BERITA MINGGU | Kami di Kelantan berterima kasih kepada Pusat

:: BERITA MINGGU 8 Mei 2005 ::
TAHUN ini genap 15 tahun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 75 sebagai Menteri Besar Kelantan selepas memegang jawatan itu sejak 1990.

Baru-baru ini, beliau membuat kejutan apabila secara terbuka menyatakan pencalonan dan sokongannya mahu seorang wakil Dewan Muslimat parti itu dipilih sebagai Naib Presiden pada pemilihan sempena muktamar awal bulan depan. Meskipun ada yang tidak berpuas hati, beliau mempunyai hujah tersendiri.

Ketua Biro Berita Harian Kelantan, ISMAIL MAT dan wartawan, MONA AHMAD, serta jurugambar, Syamsi Suhaimi, menemui Nik Aziz di pejabatnya, Rabu lalu. Dalam temubual selama sejam selepas beliau selesai menikmati nasi bungkus berlauk ikan keli secara sendirian di pejabatnya itu, Nik Abdul Aziz mengulas pelbagai perkara, daripada kekalahan Pas pada Pilihanraya Umum 2004 hinggalah minatnya kepada gusti serta isu kahwin dua di kalangan pemimpin Pas.

15 tahun sebagai Menteri Besar

ADA orang berbangga dengan Pas Kelantan kerana kami yang mula-mula memindahkan duit kerajaan daripada bank konvensional kepada Bank Islam. Kelantan juga pertama memberi cuti dua hari seminggu kepada penjawat awam dan membenarkan kakitangan wanita yang bersalin cuti daripada 40 kepada 60 hari serta menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan untuk membeli kenderaan.

Tidak mengapa Pas Kelantan masih dikaitkan dengan kemiskinan. Soalnya, negeri lain tiada isu kemiskinankah? Biarlah orang lain kata anak orang mati, anak aku mati. Kemiskinan bukan di Kelantan saja.

Lihatlah pembinaan rumah baru bertaburan di seluruh Kelantan sekarang. Bagaimana penduduk mampu membina banyak rumah kalau tiada duit? Begitu juga pendaftaran kenderaan, terus meningkat. Telefon bimbit, anak-anak kecil pun kini sudah menggunakan kemudahan itu, bagaimana nak guna semua kemudahan itu kalau rakyat negeri ini tidak berduit.

Nak kata miskin, katalah! Boleh jadi kerajaan miskin tetapi rakyatnya mempunyai wang. Sebelah malam kami tutup kelab malam, tetapi gerai makan dan pasar malam menjadikan Kota Bharu hidup pada waktu malam.

Kemiskinan tidak menjadi masalah di Kelantan, peluang pekerjaan semakin terbuka di negeri ini, pembinaan rumah-rumah baru turut memerlukan pekerja, boleh semak peningkatan jualan bagi simen, besi keluli dan pasir, semuanya ada ukuran. Kemakmuran daripada kekayaan itu.

Kami di Kelantan berterima kasih kepada kerajaan pusat yang salurkan pembangunan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan. Saya sendiri menemui bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, untuk meminta pinjaman RM600 juta. Alhamdulillah! saya terima kasih. Begitu juga banyak lagi projek hospital, klinik, sekolah dan pembinaan jalan raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai membabitkan peruntukan puluhan juta ringgit.

Saya berterima kasih kerana itu bukan rasuah tetapi kewajipan kerajaan pusat menjaga sebuah gugusan.

Masalah sosial di Kelantan

MASALAH dadah di negeri ini, lebih kepada politik semata-mata untuk memburukkan Pas. Ketika ini Kelantan adalah negeri kelapan dalam masalah dadah.

Dalam usaha Pas Kelantan mewajibkan pegawai menutup aurat dan meminta secara moral masyarakat supaya menutup aurat, bagi mengurangkan masalah ghairah dan rogol, tetap berlaku juga masalah sosial, apa lagi negeri yang tidak melaksanakan tutup aurat, tentu lebih teruk lagi.

Saya tidak boleh sekat kalau setiap hari akhbar menyiarkan gambar wanita tidak senonoh dan tidak menutup aurat. Televisyen dengan situasi langit terbuka kini lebih teruk lagi.

Dengan keupayaan yang ada di Kelantan, kami cuba serapkan semangat dosa pahala kepada masyarakat kerana tutup aurat bukan kehendak Pas tetapi ketetapan Allah, syurga neraka bukan kerja Pas tetapi kuasa Allah, selagi manusia tidak mampu membina langit dan bumi sendiri, kenalah duduk dalam dunia Allah ini dan patuhi undang-undangnya.

Belum fikir letak jawatan

LETAK jawatan sebagai Menteri Besar? Tidak. Selagi sihat sehingga pilihan raya umum akan datang saya akan terus pegang jawatan Menteri Besar. Nak kata apa katalah. Nak sebar khabar angin itu sebarlah! mereka yang menanggung dosa.

Dua minggu lalu, saya berjumpa doktor di Institut Jantung Negara (IJN) yang menyatakan jantung saya kini macam ahli sukan, degupannya begitu hebat, cuma gastrik saja yang masih ada.

Saya ini minat gusti, cuma kini saya nak tengok ulangan televisyen pun tak boleh tengok, walaupun saya tahu siapa menang siapa kalah, sebab debar jantung kuat sangat. Itu dulu. Sekarang lagi tidak boleh selepas pembedahan untuk menonton gusti.

Mengenai kahwin dua, itu isu terlalu peribadi. Kahwin dua atau tiga tiada dalam kepala saya. Yang saya harapkan hanyalah kerja, kalau mengganggu kerja saya, masalah. Kalau kahwin dua, ada giliran, itu dan ini sedangkan saya tiada masa untuk itu. Macam mana nak kahwin dua.

Kahwin dua mengundang masalah, lebih-lebih lagi isteri saya begitu memuaskan saya, makan minum dan tidur saya dijaganya dengan baik, buat apa saya fikirkan kepada orang lain.

Ada beberapa surat cinta dihantar kepada saya oleh wanita. Orang nak pinang pun ada, apa boleh buat, terima kasih tetapi saya tolak. Saya tengok orang kahwin dua ini bermasalah.

Pemimpin Pas yang kahwin lebih dia punya pasal selagi caranya halal. Saya tidak kata apa atau tegur, nak kahwin kahwinlah tetapi jaga peraturan yang dibuat oleh Allah, jangan sekadar nak melepaskan nafsu.

Muslimat sebagai Naib Presiden

DALAM Islam yang menjaga dunia ini sama. Wanita bertanggungjawab dalam bidang tertentu, begitu juga lelaki. Dosa pahala bukan kena pada lelaki saja, perempuan pun sama. Ahli syurga bukan lelaki saja, tetapi perempuan juga. Tetapi oleh kerana keadaan semasa, golongan perempuan terpinggir, maka Pas menaikkan semangat dan kerjasama dengan wanita dalam parti.

Saya sudah lama melantik senator di kalangan wanita untuk mewakili Kelantan (Senator Siti Zailah Mohd Yusoff dan Senator Wan Ubaidah Omar). Saya tidak lantik lelaki tapi saya lantik perempuan.

Itu langkah pertama saya bagi membolehkan muslimat atau wanita menceburi politik tanpa bertanding kerana jawatan itu dilantik. Kemudian kita beri peluang bertanding pada pilihan raya tahun lepas, kita calon tiga orang tapi satu menang, manakala satu lagi menolak, seorang lagi kalah di Parlimen Pasir Puteh (Kalthom Othman).

Bagi membolehkan semangat wanita itu bergerak dengan lebih cergas, saya minta muslimat dicalonkan sebagai Naib Presiden. Kerana itu, saya sendiri sebut nama Dr Siti Mariah Mahmud, mudah-mudahan orang akan perasan.

Saya minta maaf jika ada calon lain yang kecil hati tetapi saya sudah fikir acapkali kalau saya sendiri tidak sebut namanya, boleh jadi muslimat teraba-raba, maka saya beranikan diri sebut nama.

Perkara ini benda baru bagi muslimat, sudahlah muslimat ini bersifat malu-malu, nak ke hadapan semakin malu, maka saya tolong dukung muslimat, memberanikan diri mereka mencalonkan nama. Nama yang saya calonkan itu sudah lama duduk sebagai ahli Mesyuarat Agung Pusat. Orang ini dah lama jadi ahli dalam mesyuarat Pas Pusat, tapi barangkali orang tidak kenal.

Bukan saya kempen, tapi nak tunjukkan nama yang mereka tercari-cari kerana saya sudah lama berkawan dengan dia (Dr Siti Mariah) dalam mesyuarat jawatankuasa pusat, tetapi beliau tidak ditonjolkan dalam masyarakat.

Saya tidak kecil hati kalau orang tidak mahu menyokong dia pun. Jadi terpulanglah kepada pengundi. Itu masalah peribadi, saya tidak boleh kempen.

Kriteria untuk memilih pemimpin mesti warak, baik berlatar belakangkan akademik atau agama, orangnya mesti warak. Warak kita boleh pantau dari segi tutur kata mereka, tindak tanduk dan pencampuran. Ini kita boleh ukur.

Profesional pun tidak menjadi masalah kalau dia tiada berlatar belakangkan pendidikan agama khasnya pejuang Islam, tetapi sudah lama bercampur dengan orang yang beragama dan maka terbawa-bawa dengan Islam.

Perbezaan dengan Hadi Awang

SAYA suka katakan ada sedikit kelainan gaya kepemimpinan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Inilah ertinya ada demokrasi dalam Pas, mana ada demokrasi tanpa kelainan. Kelainan adalah sesuatu yang bagus.

Saya serahkan kepada perwakilan ketika mengundi dalam muktamar kelak walaupun ada kelainan dalam pencalonan daripada Kelantan dan Marang. Saya tidak suka kempen.

Saya dapati tiada masalah golongan muda dan profesional berada dalam kepemimpinan saya. Dalam exco saya ada ustaz, pensyarah undang-undang, doktor dan doktor pakar. Dalam parti juga ia terbuka, begitu juga dalam kerajaan. Dalam parti ada pemilihan, dalam kerajaan siapa yang layak dilantik.

Husam Musa, kalau saya tidak calon pun sebagai Naib Presiden, nama dia terlalu banyak disampaikan kepada saya menerusi telefon dan surat. Husam boleh dikira budak cerdik dan ulat buku. Saya seronok dengan Husam kerana hobi kami serupa, sama-sama suka membaca. Dia pula manusia yang suka bekerja, tidak membuang masa dengan borak-borak. Saya sangat suka dengan orang macam ini. Nama beliau pun selalu jadi sebutan dalam akhbar, jadi kalau saya sebut Husam untuk pencalonan adalah perkara biasa saja.

Pas selepas kalah pada 2004

SAMA ada gagal atau berjaya, satu kejayaan besar Pas ialah menyambung perjuangan Nabi, ketika masyarakat dunia mencemuhkan kerja Nabi, mengagungkan usaha saintis, ahli politik, teknologis, mereka melenyapkan kerja Nabi, ini adalah satu kegagalan pemikiran dunia hari ini.

Perjuangan Nabi Muhammad mencakupi keperluan hidup manusia, ekonomi, politik, budaya, sosial dan akidah, Pas berjaya menonjolkan akidah yang dibawa Nabi Muhammad sehingga lawan terpaksa menggunakan duit untuk memujuk dan memancing undi.

Ini menandakan perjuangan mereka lemah, kalau tidak diumpan dengan duit. Secara moralnya, ini kejayaan Pas, apabila musuh terpaksa menggunakan duit walaupun politik wang atau rasuah dikutuk oleh semua agama dan dikutuk oleh semua sistem demokrasi.

Kelantan mampu terus kerusi selamat Pas, selama demokrasi dijaga dengan baik, tiada rasuah, tiada ugutan, tiada kempen halangan bantuan kepada anak penyokong Pas, selama itulah Pas mempunyai masa depan yang baik.

Selagi kerja-kerja kotor ini wujud, kami nak kata macam mana pun tak tau, tetapi kewajipan kami sebagai orang Islam adalah mesti mendedahkan perjuangan Islam, kewajipan dunia akhirat.

Selama demokrasi dijaga dengan baik, selagi diberi peluang berceramah, menulis dalam akhbar, kami bercakap menerusi radio, maka selama itulah, apabila sumber ini, saluran air ini ditutup, maka tangki akan keringlah. Maka mereka gunakan sistem ini, istilah politik dipanggil tajfiful manabik iaitu mengeringkan salur air, apabila saluran air dikeringkan dalam bendang, maka ia menjadi kering.

Tapi sekarang ini, Alhamdulillah, ada internet, bolehlah bercakap melalui telefon, tapi sekadar mana sangat boleh bercakap melalui telefon kepada penyokong, banyak mana sangat boleh guna internet, tidak semua orang ada internet di rumah.

Kami bergerak dalam seribu satu masalah, tetapi kewajipan kami dunia akhirat, mesti menerangkan mengenai Islam secara syamil atau komprehensif. Kita tahu Nabi Muhammad dikepung lebih teruk daripada kami, Nabi Isa sampai dibawa naik ke langit.

Pas akan terus bekerjasama dengan sesiapa yang mahu bekerjasama dengan kami. Kami terima, DAP, Gerakan atau MCA sendiri kami sedia terima. DAP menerima perjuangan Pas tetapi mereka mengaku pada malam mesyuarat dengan anggota tertinggi parti itu di Perak, mereka tidak mampu melawan kempen MCA. Saya kata, Pas boleh lawan tetapi DAP akui tidak padan kerana MCA berkempen Pas ini taliban, maka dengan sendirinya DAP akan menjadi penyokong taliban.

Agama Islam terlalu mudah kerana Nabi Muhammad, orang pertama Islam di muka bumi. Musyrikin Makkah, Aus dan Khazraj adalah ibarat masyarakat Cina ketika belum Islam. Musyrikin sanggup meninggalkan akidah dan budaya lama apabila menerima Islam, serupa saja dengan orang Cina sekarang.

Cina Kelantan sudah ada Persatuan Penyokong Pas. Kami minta mereka sokong dasar Pas, soal dia nak terima Islam atau tukar agama itu dia punya pasal kerana ajaran Islam tidak memaksa orang menerima Islam. Mana boleh paksa orang terima ajaran Islam.

Alhamdulillah, jika ada masalah yang tidak disenangi, mereka tanya dan saya memberikan jawapan berdasarkan logik dan mereka terima. Katakan arak dan judi, sering dikaitkan dengan budaya orang Cina, tetapi orang Cina menafikannya.

Judi adalah kerja mencari duit yang tidak logik kerana mencari duit secara berniaga maka boleh atur kertas kerja, kempen pelanggan, boleh bersihkan barang di kedai dan boleh guna senyum simpul untuk tarik pelanggan. Judi nak kempen macam mana, kita taruh sikit duit dalam tabung, beli toto atau macam-macam jenis judi zaman sekarang ini, yang bodoh pun kadang-kadang menang judi dan yang ada PHD banyak juga kalah judi. Judi ialah cara yang tidak beretika dan semuanya secara kebetulan. Mana boleh hidup dengan kebetulan saja.

No comments: