:: MINGGUAN MALAYSIA 8 Mei 2005 ::
GERIK 7 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan jutawan yang sengaja tidak membayar balik pinjaman pendidikan sebagai `pengkhianat agenda Melayu' kerana menghalang usaha kerajaan membantu mereka yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin juga menyifatkan jutawan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana mereka kini telah berjaya dan sepatutnya tampil membantu pihak yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, kegagalan membayar balik pinjaman meskipun berkemampuan, menjadikan usaha kerajaan semakin sukar terutama dalam keadaan dana kerajaan yang terhad untuk menyalurkan biasiswa atau pinjaman kepada sasaran.
``Mungkin mereka ada alasan munasabah (tidak membayar) tetapi mengambil contoh di Selangor, mereka ini tidak ada sikap tanggungjawab dan boleh dikatakan sikap yang tidak membantu agenda Melayu.
``Kalau sengaja tidak membayar balik itu boleh dikatakan mengkhianati agenda Melayu,'' katanya kepada pemberita selepas menutup mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Gerik, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Mohd. Tajol Rosli Ghazali.
Khairy mengulas laporan akhbar hari ini mengenai jutawan dan doktor antara 4,000 orang yang liat dan malas menjelaskan hutang Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor berjumlah RM15 juta.
Turut melarikan diri ialah mereka yang bergelar Datuk, pegawai kanan kerajaan, usahawan dan kontraktor sehingga ada di antara tunggakan mencecah RM100,000 seorang.
Khairy yang melahirkan rasa kesal dengan senario itu berkata, sepatutnya dalam perjuangan memartabatkan bangsa, mereka yang berjaya tidak mengambil peluang di atas usaha kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengkaji sistem pemberian pinjaman dan biasiswa agar dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak supaya matlamat membantu mereka yang tidak berkemampuan mencapai objektif.
``Perjuangan agenda Melayu harus diterjemahkan melalui program yang menepati sasaran, kita tidak mahu ada agenda yang `kebocoran' sehingga bantuan tidak sampai dan ada tol (halangan) di pelbagai tempat,'' ujar beliau.
Sunday, 8 May 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment